Advertise with us!

Tiga Individu Ditahan SPRM, Disyaki Seleweng Dana Zakat RM230 Juta

SPRM menahan tiga individu, termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), berhubung dakwaan penyelewengan dana zakat.
Tiga Individu Ditahan SPRM, Disyaki Seleweng Dana Zakat RM230 Juta

KUALA LUMPUR, 21 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu, termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), berhubung dakwaan penyelewengan dana zakat.

Menurut laporan, penahanan dilakukan oleh SPRM Selangor hari ini. Dua lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an ditahan dalam satu operasi di Lembah Klang antara jam 3 petang hingga 5 petang, manakala seorang lagi suspek berusia 50-an ditahan lebih awal kira-kira jam 2 pagi selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Sumber memaklumkan bahawa ketiga-tiga individu berkenaan, termasuk dua daripadanya merupakan pengarah syarikat, dipercayai bersekongkol melakukan kesalahan tersebut dalam tempoh enam tahun, dari 2018 hingga 2024.

Siasatan awal mendapati timbalan pengerusi NGO berkenaan dipercayai telah memindahkan dana berjumlah RM230 juta ke akaun syarikat miliknya untuk tujuan pelaburan serta kegunaan peribadi. Kes ini difahamkan melibatkan penyelewengan dana awam memandangkan NGO tersebut mengumpul sumbangan orang ramai bagi membantu golongan memerlukan.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut menyita 18 kenderaan mewah, rumah dan hartanah bernilai kira-kira RM11 juta, selain wang tunai serta jam tangan berjenama. Sebanyak 33 akaun bank yang mengandungi kira-kira RM120 juta juga telah dibekukan.

Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009. Beliau turut berkata semua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok bagi permohonan reman.